1.0 PENGENALAN
Sesungguhnya
pujian hanyalah bagi Allah. Kita sebagai manusia memuji-Nya, meminta
pertolongan daripada-Nya, meminta keampunan daripada-Nya, dan memohon petunjuk
kepada-Nya. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari keburukan diri dan
perbuatan kita sendiri. Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah maka tiada
yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada
yang dapat memberikannya petunjuk. Kajian ini menceritakan kisah tokoh Islam
yang disegani iaitu Salahuddin Al-Ayubi sebagai pahlawan Islam yang paling
digeruni oleh pihak musuh suatu ketika dahulu.
Kisah beliau ini
bermula dari saat kelahirannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Diterangkan
pula kisah perjuangan Salahuddin Al-Ayubi menentang musuh-musuh Islam terutamanya
semasa perang Salib. Selain itu, Salahuddin seorang yang warak dan zuhud.
Beliau berpaling daripada hidup senang-lenang kepada hidup yang serba
sederhana. Beliau juga seorang pemerintah yang berwibawa. Beliau sentiasa
mencari jalan untuk menguatkan pasukan tentera serta berbincang dengan sesiapa
yang menyuarakan pendapatnya mengenai persediaan perang.
Dalam menjayakan
usaha jihad, beliau sanggup meninggalkan rumah kediaman dan keluarga, serta
memilih kehidupan dalam khemah tentera.(Abdul Latip Talib:2)
2.0 LATAR BELAKANG SALAHUDDIN AL-AYUBI
Salahudin
Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin
–menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 543H bersamaan 1137M, di kota
Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.
Beliau
dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit
oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo
Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku
dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka
bayi itu menjadi pahlawan terbilang. Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi
mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh
atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama
seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain,
belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri.
Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera
Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan
menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka
pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi
kekufuran sehingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole seorang
penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gobenor yang
memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang
tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia
menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimana pun, Allah
telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah
telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu.
Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan
untuk mara ke Mesir.
Pada masa itu Mesir diperintah
oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa
ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang
dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia
amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)
Kewafatan
Salahuddin Al-Ayubi
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H,
pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah
air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin
telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12
hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar
seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia
nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada
malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu
Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan
Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar. Apabila
Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan
Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin
membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia
berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya
pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin
menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47
dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan
harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak
cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk
menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang
menterinya.
3.0 SIFAT PERIBADI
Apabila Salahuddin menguasai
Mesir, ia tiba-tiba berubah. Salahuddin Al-Ayubi yakin bahawa Allah telah
mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin
dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan
dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah
Mesir, dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati
yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan
segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole
(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang
lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan
sederhana. Salahuddin Al-Ayubi mengenepikan corak hidup senang dan memilih
corak hidup "Spartan" yang
menjadi contoh kepada tenteranya. Salahuddin Al-Ayubi menumpukan seluruh
tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat
untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata,
"Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud
Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan
dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas
kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman
musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole
mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas
dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian
akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat
bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk
kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang
amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada
orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole juga telah
menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku
telah membuat infaq, Paderi besar pun telah menderma. Sekarang giliranku
pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan
Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan.
Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga
ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar
bilangan mereka.
Selanjutnya, Lane-Poole
menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul
Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa
ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan
itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata
disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara
rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan
orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di
mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasib baik
orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan,
jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka
ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan
baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Sifat istimewa Salahuddin
Kewarakan
juga menjadi sifat istimewa bagi Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia
telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Beliau memang suka sembahyang
berjemaah, bahkan ketika sakitnya beliau akan memaksa dirinya berdiri di
belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh
Rasulullah saw, beliau sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam.
Ketika
mengepung bandar Acre, Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau
sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, beliau keluar menunggang kudanya
untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia
boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan
meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".
Salahuddin
memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku
kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan beliau mengetahui sifat-sifat kuda Arab
walaupun beliau sebenarnya orang Kurd. beliau sangat gemar mengumpulkan
pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya. Di samping
itu,beliau juga banyak menghafal syair-syair Arab.
4.0 KEGIGIHAN SALAHUDDIN AL-AYUBI
Sumbangan
Salahuddin Al-Ayubi
Fikiran Salahuddin sentiasa
tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa
semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib
telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia
sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya,
mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa
yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian.
Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di
istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan
mendapat kepercayaannya.
Siapa sahaja yang
memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan
tentera salib ia akan menumoukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang
dan menaikkan semangat tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang
ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia
akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk
mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata.
Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang
mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia
hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor
itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari
Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan
terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang
sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan
Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera
Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah
Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon.
Pembesar-pembasar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay,
Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga
tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole
menceritakan bawaha dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat
tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib
yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling
seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam
peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat
memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan
Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole
menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan
Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan
perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari
Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku
telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar
dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan
menuntut bela Muhammat atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan
memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.
Raja Palestin apabila melihat
adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi
Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah
kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah
melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah
terjadi".
Tindakan Salahuddin adalah
disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Bahauddin bin
Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari
Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara
tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya
mengatakan, "Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu".
Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan
tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Maqdis
Kemenangan peperangan Hittin
telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Maqdis.
Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk
menawan Baitul Maqdis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa
di dalam hatinya.
Pada hari Jumaat, 27 Rejab,
583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci
tempat Rasulullah s.a.w naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan
inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama,
pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan
ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua
ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada
Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan
"Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah
memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula
di Baitul Muqaddis. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan.
Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang
tahu betapa hebatnya hari itu.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah
kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakal
yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun
583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis
tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh
dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick
Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja
Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah
bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan
saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat
pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang
besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga
menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak
bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini
mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra
diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib
ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan
perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5
tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci
pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla
pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu
jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan
perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan
orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat
senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy,
Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu
membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem
kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada
yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah
Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole
mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam
peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya
mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak
pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan.
Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang
tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq)
telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin
memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir,
Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam
dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi
Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula
peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole
juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai
majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis
ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang
mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran
Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya,
anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi,
bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam
membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing.
Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan
ketaatan mereka kepada Salahuddin.
5.0 KESIMPULAN
Sifat
kepahlawanan Salahuddin Al-Ayubi sentiasa menjadi contoh dan tauladan yang baik
kepada setiap orang Islam di dunia ini. Sebagai manusia biasa, kita harus
menjadikan tokoh-tokoh ternama seperti Salahuddin Al-Ayubi sebagai contoh
terbaik untuk terus maju ke hadapan tanpa dipandang hina oleh orang luar.
Keperibadian
beliau terserlah sejak beliau masih remaja. Beliau juga banyak belajar tentang
agama Islam sejak kecil lagi. Seperti kata-kata Saidina Umar bin Al-Khattab:
“Ajarkan
anak-anak kalian berenang, memanah (menembak), seni mempertahankan diri dan
menunggang kuda.”
Sifatnya
yang suka merendah diri menjadikan beliau sentiasa dihormati dan disayangi oleh
penduduk Islam ketika itu. Beliau sentiasa menumpukan segala usaha dan
tenaganya kepada satu tujuan iaitu membina empayar Muslim yang cukup kuat bagi
menghalau keluar kaum Kristian dari Baitul Maqdis.
Seterusnya,
di medan perang,Salahuddin kelihatan seperti seorang ibu yang kehilangan
anaknya. Beliau kelihatan sentiasa berada di atas kudanya bergerak dari penjuru
medan perang ke satu penjuru yang lain sambil menyeru tenteranya berjuang
kerana Allah.
Selain
itu, sifat penyayang dan belas kasihan Jerusalem jauh berbeza dengan tentera
Salib. Salahuddin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian
menyerah kalah. Tenteranya juga amat bertanggungjawab, menjaga peraturan di
setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan walaupun tehadap orang-orang
Kristian.
Selain
itu, Salahuddin Al-Ayubi juga seorang yang pemurah. Kesemua wang yang
diperolehinya habis diberikan kepada mereka yang memerlukan. Dia juga tidak
terpengaruh dengan harta. Semasa mengambil alih pemerintahan Mesir, Khalifah
Adhid banyak meninggalkan harta namun dia tidak mengambilnya.
Selain
itu, harta-harta rampasan perang juga dibahagikan kepada tenteranya. Ketika
meninggal dunia, beliau tidak memiliki sebuah rumah dan wang simpanannya hanya
empat dinar sahaja.
Kejayaan
dan sumbangan Sultan Salahuddin untuk umat Islam sangatlah besar untuk kita
perhitungkan. Pastinya sumbangan adalah suatu usaha yang telah dimulakan oleh
tokoh-tokoh Islam terdahulu yang berjaya menyuntik kembali rasa izzah di dalam
diri umat Islam setelah umat Islam pada waktu tersebut telah jauh daripada
menghayati syiar Islam itu sendiri.
7.0 BIBLIOGRAFI
Buku:
Abdul
Latip Talib(2007). Novel Sejarah Islam :
Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem. Kuala lumpur : PTS Litera Utama Sdn.
Bhd.
Abdul
Aziz Salim Basyarhill(1996). Kisah Dan Pengajaran.
Johor : Perniagaan Jahabersa.
Imam
Munawwir(1985). Mengenal Perbadi 30
Pendekar Dan Pemikir Islam. Surabaya : PT Bina Ilmu.
Prof.
Madya Dato’ Hj Mohd Mokhtar Shafie(1993).Sejarah
Keagungan Kerajaan Islam. Malaysia: Nurin Enterprise.
Mustaffa
Suhaimi(1993). Perang Salib.
Progressive Publishing House Sdn. Bhd.
Nor
Shakila Mohd Noor adalah calon ijazah tinggi Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Laman web:
http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/03/biodata-dan-sejarah-ringkas-salahuddin.html#axzz2tSRw0P2Z
(15/2/2014, 8:30am)
http://johneox.wordpress.com/salahudin-al-ayubi/
(15/2/2014, 9:15am)
http://aqsasyarif.org.my/v3/index.php/rujukan/artikel-palestin/2422-keadilan-salahuddin-al-ayubi-pembebas-masjidil-aqsa
(16/2/2014, 10.05am)
http://azpelajar.blogspot.com/2010/07/tokoh-pahlawanan-islam-salahuddin-al.html
(16/2/2014, 10.35am)
http://luqmanafifi.ismajordan.com/?p=5210
(16/2/2014, 11.055am)
http://johneox.wordpress.com/salahudin-al-ayubi/
(16/2/2014, 12.05pm)
No comments:
Post a Comment